Bahaya Tarikat Sufi/Tasawuf (3/5)

2,430
by admin, 10 years ago
231 34
Di dalam al-Quran, al-Hadith dan Bahasa Arab tidak terdapat kalimah tasawuf atau sufi, atau suatu kalimah yang memberikan makna tertentu dari kalimah sufi atau tasawuf tersebut. Kalimah ini (sufi/tasawuf) berjaya dimasukkan ke dalam Bahasa Arab (diArabkan) oleh aktivis tasawuf melalui saluran falsafah yang mereka amal dan perjuangkan. Apa yang terdapat di dalam al-Quran atau al-Hadith hanyalah kalimah takwa dan zuhud yang berbeza maksud, tujuan dan prinsipnya dengan tasawuf atau sufi, takwa dan zuhud melarang pelakunya dari meninggalkan syariat walau seinci sekalipun. Namun ada yang menyangka bahawa kedua-dua kalimah ini mempunyai sedikit persamaan. Dalil tentang zuhud telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala dengan pengertian dan penjelasannya yang sebenar: "Dan mereka merasa tidak tertarik hati padanya". YUSUF, 12:20. Kalimah "zuhud" di ayat ini, bererti: "Tidak tertarik, tidak terikat, tidak terpengaruh dan tidak terasa cinta kepada sesuatu yang bersifat kebendaan". Walaupun begitu ia tidak pula ditinggalkan kerana kebendaan tersebut boleh dijadikan kepentingan dalam kehidupan di dunia walaupun bukan menjadi tujuan utama. Zuhud merupakan satu daripada amalan para nabi, para rasul, para sahabat dan orang-orang soleh. Golongan sufi/tasawuf telah membawa ramai penganutnya ke alam fantasi, khayalan dan syatahat yang bertentangan dengan syara. Teori ajaran kesufian ini seolah-olah menginginkan agar agama Islam menjadi suatu metos yang seakan-akan serupa dengan hikayat seribu satu malam yang dipenuhi dengan lamunan yang tidak jejak di alam nyata. Mereka melakukan pemujaan secara ghulu terhadap syeikh-syeikh yang disangka mempunyai keramat dan dianggap wali, sama ada yang masih hidup atau yang sudah mati. Mengkeramatkan kubur para syeikh mereka yang dianggap wali serta mencipta cerita-cerita keluar-biasaan para wali sufi sehingga semuanya itu hampir serupa dengan keajaiban dalam cerita dongeng dewa-dewa Buddha/Hindu yang tidak ada kena-mengena dengan agama Islam.