Hukum Babi Menurut Syarak (5/6)

1,468
by admin, 10 years ago
103 41
Tidak terdapat walau satu ayat yang memberi makna rijs (najis) kepada maksud najis berat sehingga dicuci tujuh kali apabila menyentuhnya. Malah tidak terdapat keterangan atau suruhan dari al-Quran atau hadis yang sahih yang memerintahkan agar dicuci tujuh kali satu daripadanya dengan tanah apabila tersentuh salah satu dari benda-benda rijs yang tersebut di dalam al-Quran atau hadis. Adapun hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim iaitu: "Barang siapa bermain nard (dadu) walau hanya sejengkal, seolah-olah dia memasukkan tangannya pada daging babi." (H/R Muslim) Maksud hadis di atas ini berupa larangan bermain dadu kerana ia membawa kepada perbuatan judi yang diharamkan sebagaimana rijs (diharamkan) memakan daging babi. Pengertian najis mengikut bahasa ialah setiap benda yang kotor, tetapi di dalam syarak najis mempunyai dua jenis: Pertama: Najis hissi iaitu najis yang boleh disentuh, dilihat warna serta dihidu baunya seperti rijs (najis) babi, bangkai, darah, nanah, tahi dan sebagainya. Tetapi babi yang seiring dengan darah dan bangkai di dalam ayat di atas, tidak pernah ada hadis yang memerintahkan agar dicuci tujuh kali satu darinya dengan tanah sebagaimana yang dikhususkan kepada daging babi atau apa sahaja elemen dari babi. Oleh kerana tidak pernah diperolehi atau ditemui walaupun sebuah hadis sahih yang mewajibkan mencuci atau membasuh sesiapa sahaja yang menyentuh atau tersentuh babi sebanyak tujuh kali cucian, sama ada babi atau unsur babi tersebut kering atau basah. Termasuklah peralatan dapur seperti periuk, belanga, sudu, garpu, pinggan, mangkuk atau apa sahaja yang berupa peralatan untuk memasak, makan atau minum yang digunakan atau tersentuh babi atau juga unsur-unsur babi ia tidak wajib disertu atau dicuci tujuh kali satu darinya dengan tanah. Maka sesiapa yang mewajibkan melakukan seperti itu perlulah mendatangkan hujah dari syarak kerana agama ini datangnya bukan dari pendapat atau qaul seseorang tetapi dari firman Allah dan sabda Rasul-Nya. Kedua: Najis maknawi iaitu jenis najis yang tidak boleh dicapai oleh indera seperti najis yang bermaksud nifaq, dosa, syirik dan kekafiran sebagaimana firman Allah pada ayat-ayat yang lalu dan ayat yang berikut ini: "Wahai orang-orang beriman bahawasanya orang-orang musyrik itu najis." (QS: At-Taubah, 9:28)