Manhaj Salaf Akidah Salaf (1/8)

2,148
by admin, 11 years ago
239 37
بِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ  Ustaz rasul ahli Sunnah Wal Jamaah Sebahagian dari isi kandungan kertas kerja telah dikuliahkan di Pusat Islam Singapura, di beberapa masjid di Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah. MANHAJ SALAF   PENGERTIAN MANHAJ -----------------------------------  Manhaj menurut pengertian bahasa ialah: "Jalan yang jelas, mudah dan terang." Kalimah manhaj terdapat di dalam al-Quran, antaranya firman Allah: "Untuk tiap-tiap umat (di antara kamu) Kami berikan aturan dan jalan yang terang".   (QS. Al-Maidah, 5:48) Kalimah manhaj (منهاج) di ayat ini diterjemahkan "Jalan yang terang" dan ia dimaksudkan juga sebagai (سَبِيْلاً) "Jalan"  atau (سُنَّةً) "Sunnah". [1]   Menurut Imam Ibn Kathir dan as-Syaukani yang dinukil dari Abi Abbas Muhammad bin Yazid, apa yang dimaksudkan manhaj ialah: "Adapun apa yang dimaksudkan sebagai manhaj ialah:  Jalan yang terang dan mudah". [2]   Manhaj atau minhaj dimaksudkan juga sebagai mazhab. Walaupun mazhab sering digunakan untuk aliran fikah, tetapi ia sering juga digunakan atau dimaksudkan dengan maksud yang sama dengan manhaj. Seperti disebut: "Manhaj as-Salaf atau Mazhab Salaf". PENGERTIAN SALAF -------------------------------- Salaf menurut bahasa ialah "orang yang awal-awal, mula-mula atau yang terdahulu", [3]  atau "pendahulu bagi suatu generasi." [4]  Menurut Ibn Mansur:  "Salaf ialah sesiapa yang mendahului engkau seperti ibu bapa atau kaum kerabat yang lebih tua pada umur atau kedudukan". [5]  Kalimah salaf adalah kalimah arab tulen, kerana ia disebut di dalam al-Quran. Allah berfirman: َ "Dan Kami jadikan mereka (orang-orang) yang terdahulu sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian". (QS. Zukhruf, 43:56)   Kalimah salaf tercatat juga di dalam hadis-hadis sahih. Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: "Dan tidaklah ada yang sedang aku rasakan pada usiaku kecuali sudah menghampiri (kewafatan),..." "...maka bertakwalah dan bersabarlah (wahai Fatimah!). sesungguhnya semulia-mulia salaf bagimu adalah aku." [6] "Maka setelah Zainab binti Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam meninggal, baginda bersabda: Pertemukanlah dia dengan salaf kita yang baik, Uthman bin Madzoun." [7] -------------------------------------- [1]   Lihat:  منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى.  Juz. 1. Hlm. 50.    Khalid bin Abdul  Latif bin Muhammad Nor. [2]   Lihat:  تفسير ابن كثير.  Jld. 2.  Hlm.  66.  Dan lihat:  فتح القدير Jld.  2. hlm.  48.  As-Syaukani. [3]   Lihat:  معجم مقايس اللغةJld. 3. Hlm. 95.  Ibnu Faris. [4]   Lihat:  القاموس المحيط  Al-Fairuz Abadi. [5]   Lihat:  Lisan (9/159).  Lihat juga:  المفسرون للمغراوى Jld. 1. Hlm. 18. [6]   H/R. Muslim [7]   H/R. Ahmad dalam Musnad