Manhaj Salaf Akidah Salaf (4/8)

1,451
by admin, 11 years ago
147 24
Para Salafi (salafiyun) adalah orang yang mengikut Manhaj Salaf (Salafiyah).  Manhaj Salaf hanyalah manhaj al-Quran dan al-Hadis (as-Sunnah) dalam setiap urusan agama mereka.  Mereka sentiasa mematuhi suruhan Allah dan RasulNya agar berittiba' kepada wahyu Allah sebagaimana firmanNya: "Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyedarinya".  (QS. Az-Zumar, 39:55) Yang dimaksudkan (اَحْسَنَ مَا اُنْزِلَ):  "Sebaik-baik apa yang telah diturunkan" ialah "al-Quran", kerana al-Quran keseluruhannya hanya dipenuhi oleh perkara-perkara yang terbaik (amat sempurna). [1]  Para sahabat ditarbiyah (dididik) oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dengan wahyu (al-Quran dan as-Sunnah) yang sedang diturunkan, oleh sebab itu mereka adalah manusia yang paling baik, mulia dan sempurna sebagaimana yang telah dijelaskan di surah Ali Imran, 3:110. Ibn Taimiyah rahimahullah telah memfatwakan tentang penentuannya siapa sebenarnya mereka yang berhak bergelar Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh sehingga setiap orang yang beriman diwajibkan bermanhaj dengan manhaj mereka: "Ahli Sunnah ialah mereka yang berpegang dengan kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam (Hadis sahih) dan apa yang disepakati oleh orang-orang pendahulu yang awal (salaf) yang terdiri dari kalangan Muhajirin dan Ansar dan juga orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik". [2] Seterusnya beliau berkata: "Maka sesiapa yang berkata-kata berdasarkan al-Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah serta ijmak maka ia adalah tergolong dalam golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah". [3] Dalam persoalan manhaj, Ibn Taimiyah rahimahullah menjelaskan tentang wajibnya kita bermanhaj Salaf as-Soleh kerana ia memenuhi tuntutan berjamaah sebagaimana yang disyaratkan oleh Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam tentang jamaah iaitu: "Yang sepertiku (yang seperti manhaj Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam) dan (manhaj) para sahabatku". Oleh itu Ibn Taimiyah menekankan: "Tidak akan menjadi 'aib (kesalahan) bagi seseorang mengakui sebagai bermazhab (bermanhaj) salaf, menasabkan dirinya kepada salaf dan berbangga dengan salaf.  Malah wajib menerima mazhab (manhaj) salaf sebagaimana yang telah disepakati.  Sesungguhnya mahzab salaf tidak lain hanyalah mazhab yang sebenarnya (hak)". [4] Beliau juga berkata: "Bahkan syiar ahlul bid'ah adalah meninggalkan manhaj salaf." [5] Ibn Hajar al-Qatari rahimahullah pula berkata tentang manhaj Salaf as-Soleh: "Maka apa yang dimaksudkan sebagai mazhab (manhaj) salaf ialah sebagaimana yang telah diikuti oleh para sahabat yang mulia yang mana mereka sekalian telah diredhai oleh Allah, begitu juga para tabiin yang mengikuti mereka dengan baik (seterusnya tidak terkecuali orang-orang yang kemudiannya) yang mengikuti mereka sekalian sehinggalah ke Hari ad-Din(kiamat)". Mahmud Muhammad Khufaji pula menulis tentang manhaj Salaf as-Soleh: "Bukanlah penentuan zaman sudah memadai dalam perkara ini (menentukan seseorang itu salafi), tetapi di samping penentuan tersebut (bahawa salaf bukan sahaja generasi yang berada) di zaman (para sahabat) yang berlalu zamannya, malah perlulah ada kesepakatan pandangan mereka dengan al-Kitab dan as-Sunnah, jika tidak, maka dia tidak boleh dinamakan salafi sekalipun ia hidup di tengah-tengah para sahabat, tabiin dan tabiut at-tabiin". [6] Muhammad Nasaruddin al-Albani rahimahullah berkata: "Manhaj Salaf adalah ajaran yang suci dan bersih dari segala kesan tradisi (jahiliyah atau adat -- pent.) masa lalu dan bersih dari peninggalan-peninggalan berbagai-bagai fahaman. Segala kesempurnaan dan kesyumulannya berdasarkan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah." [7] ----------------------------- [1]  Lihat:  Tafsir al-Qurtubi, jld. 15 hlm. 270.  Dan tafsir at-Tabari, jld. 13 hlm. 23. [2]  Lihat:  مجموعة الفتاوىJld.3  Hlm. 375.  Ibn Taimiyah. [3]  Ibid.  Hlm. 346. [4]  Lihat:  مجموعة الفتاوى  Jld. 4.  Hlm.  149.  Ibn Taimiyah. [5]  Majmu' Fatawa 4/155 [6]  Lihat:  العقيدة الاسلامية بين السلفية والمعتزلة تحليل ونقدJuz. 1.  Hlm.  20-21.  Mahmud al-Khufaji. [7]  Limaza Khartu...