Manhaj Salaf Akidah Salaf (2/8)

2,770
by admin, 10 years ago
287 52
Melalui definisi, hujah dari ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih di atas, jelaslah bahawa pengertian salaf  ialah: yang mula-mula, yang awal dan yang terdahulu. Istilah ini dikuatkan lagi oleh firman Allah: "Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik,  Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya.  Mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya.  Itulah kemenangan yang besar".  (QS. At-Taubah, 9:100)   Salaf dalam ayat di atas ialah: "Orang yang mula-mula, awal-awal atau terdahulu" maka orang-orang yang menjadi salaf kita dalam menerima, memahami, mengamalkan, mengajarkan dan memperjuangkan Islam tentulah terdiri dari para sahabat kerana mereka menerima langsung agama ini dari Naib Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dan mereka hidup di zaman turunnya wahyu. Kemudian setelah sahabat tentulah para tabiin yang menerima pemahaman Islam dari para sahabat radhialllahu 'anhum dan kemudiannya pula para tabiut at-tabiin kerana mereka menerimanya dari tabiin dan selepas itu sesiapa sahaja yang berittiba' kepada mereka dengan baik sehinggalah ke Hari Kiamat.   Para sahabat sama ada dari kalangan Muhajirin atau Ansar sudah diketahui sebagai ummah yang termula, mereka adalah manusia yang terdahulu atau terawal menerima Islam, oleh sebab itu mereka adalah benar-benar Salaf as-Soleh yang paling soleh dan terbaik untuk diikuti manhajnya, malah manhaj mereka telah dijamin sebagai manhaj yang paling baik dan selamat sebagaimana firman Allah Subhanahu wa-Ta'ala:   "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan menegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah". (QS. Ali Imran, 3:110)   Yang dimaksudkan "Kamu adalah umat yang terbaik" ialah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam para sahabat.  Mereka dianggap oleh al-Quran sebagai sebaik-baik ummah kerana mereka sentiasa berpegang kepada manhaj al-Quran dan as-Sunnah.  Sekali lagi dijelaskan, bahawa menurut hadis-hadis sahih, salaf yang mulia setelah para sahabat ialah para tabiin dan tabiut at-tabiin serta sesiapa sahaja yang berittiba' kepada mereka. Buktinya ialah sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:   "Aku dan orang-orang yang bersamaku, kemudian orang-orang yang berdiri di atas athar, kemudian orang-orang yang berdiri di atas athar." [1]   Seterusnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda: "Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiin) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiut at-tabiin)". [2]   Menurut Ibn Hajar rahimahullah: Perkataan salaf adalah orang-orang dari kalangan para sahabat serta orang-orang yang mengikuti mereka iaitu tabiin. [3] Para sahabat digelar sebagai sebaik-baik generasi kerana lahir dalam kurun mufadhalah (Kurun Terbaik).   Menurut Syeikh al-Albani rahimahullah: "Apabila kami menyebut lafaz salaf, maka yang dimaksudkan ialah para sahabat Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam, kemudian tabiin (generasi kedua) dan kemudian tabiut at-tabiin. Orang-orang yang hidup pada tiga generasi itulah yang digelar sebagai salaf." [4]   Salafi atau sesiapa sahaja yang berpegang dengan manhaj salaf digolongkan sebagai sebaik-baik ummah. Salafi merupakan ummah terbaik dari seluruh umat yang ada. Mereka adalah orang-orang yang paling selamat kerana menyandarkan akidah, perbuatan, akhlak dan diri mereka kepada generasi yang paling utama sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran, hadis dan athar yang keseluruhannya sahih nilainya. Kalimah salafi berkali-kali disebut oleh para ulama muktabar sehingga tidak dapat dihitung dengan angka tertentu kerana terlalu banyaknya.   Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Janganlah kalian mencela shahabat-shahabatku, demi Zat yang jiwaku ada ditangan-Nya, seandainya salah seorang di antara kalian berinfaq dengan emas sebesar gunung uhud, tidak dapat menyamai (pahala) satu mud infaq mereka, tidak pula setengahnya." [5] --------------------------------------------------------- [1] H/R. Ahmad 2/297, Abu Nuaim dlm al-Hilyah 2/78. [2] H/R Bukhari. [3] Lihat: Fathul Bari 6/51. [4] Lihat: Al-Haawi 2/266. [5] Muttafaqun 'alaih.