SIAPA AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH?
Kita perlu memahami pengertian di segi bahasa dan syara. Istilah "Ahli Sunnah wal-Jamaah" terdiri dari tiga kalimah, iaitu "Ahli", "Sunnah" dan "al-Jamaah".
AHLI
Perkataan "Ahli" mengikut Bahasa Arab:
1. "Pakar, Yang Berilmu atau Yang Pandai" sebagaimana firman Allah: "Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui". (QS. Al-Anbiya, 21:7)
2. "Pengikut atau Anggota" satu-satu aliran atau kumpulan, contohnya dalam firman Allah: "Hai Ahli Kitab! Mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah padahal kamu mengetahui kebenarannya". (QS. Ali Imran, 3:70)
"Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya". (QS. Taha, 20:132)
AS-SUNNAH
Menurut bahasa: "Tariqah" (الطريقة) "Jalan" [1] atau sirah (السيرة) "Sirah". [2] Sebagaimana yang dikatakan: "As-Sunnah ialah jalan, sama ada yang terpuji (baik) atau yang keji (jahat)". [3]
Menurut syara: "Apa yang diambil (diterima, dinukil, dipindah dan diriwayatkan) dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dan para sahabat baginda berkenaan akidah dan amal". [4]
atau: "Cara (jalan) yang dicontohkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam yang dibina (diambil) dari kitab Allah Ta'ala (al-Quran), sunnah RasulNya dan jalan yang ditempuh oleh para sahabat sekalian yang telah diijmakkan oleh mereka". [5]
AL-JAMAAH
Diambil dari kalimah (الجمع) yang boleh diertikan sebagai berikut:
"Mengumpulkan atau menyatupadukan yang berpecah-belah". [6]
Al-Jamaah juga menunjukkan perkumpulan manusia yang bersatu untuk tujuan yang sama. [7]
Golongan terbesar atau yang paling ramai (السواد الاعظم) dari kalangan umat Islam. [8]
Golongan para ulama yang mujtahid. [9]
Setiap Umat Islam yang bersatu di bawah satu amir (pemerintah Islam). [10]
"Secara khususnya Al-Jamaah ialah para sahabat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam." [11]
Sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam: "Hendaklah kamu kembali kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku". [12]
Setiap mukmin yang mengikut kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam [13]
"Al-Jamaah: Iaitu serupa dengan apa yang ada pada diriku dan para sahabatku" [14]
"Al-Jamaah ialah apabila (engkau) mengikuti kebenaran sekalipun engkau hanya seorang diri (keseorangan)." [15]
"Kebenaran itu adalah dari Tuhanmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu". (QS. Al-Baqarah, 2:147)
"Jamaah" ialah: "Mereka yang tergolong dari kalangan para sahabat kerana mereka sentiasa di atas kebenaran, ahlinya dan golongan yang teramai (السواد الاعظم) mengikut fahaman (manhaj) salaf yang hak". [16]
[1] Lihat: لسان العرب - مادة (سنن)
[2] (1). مختار الصحاح Hlm. 133. ar-Razi. (2). Inilah takrif yang diberikan oleh Ibn Athir dalam النهاية فى غريب الحديث قى مادة : (سنن) Jld. 2. Hlm. 409.
[3] Lihat: لسان العرب - مادة (سنن)
[4] لمعة الاعتقاد الى سبيل الرشاد Hlm. 40. al-Uthaimin.
[5] اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz. 1. Hlm 21. Khalid bin Abdul Latif bin Muhammad Nor.
[6] (1). منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد...