Hukum Anjing Menurut Syarak (6/7)

1,563
by admin, 10 years ago
111 32
Anjing termasuk haiwan yang dihalalkan untuk dijadikan alat untuk memburu. Jika anjing itu dihukum najis berat sebagaimana yang disangkakan tentulah sukar untuk dijadikan alat untuk memburu. Kerana anjing akan bergumpal dan menggigit mangsanya sehingga mati atau lemah. Keadaan begini menyebabkan tubuh buruannya mempunyai kesan gigitan dan dipenuhi oleh air liurnya. Jika anjing dihukum najis tentulah binatang buruan hasil dari tangkapan anjing akan dipenuhi oleh najis, maka bagaimana untuk menyertu binatang buruan tersebut jika dipenuhi dengan najis dari anjing?. Hadith di bawah ini adalah hujjah untuk menjelaskan hukum tentang pemburuan mengunakan anjing: "Mengenai kamu berburu di tanah pemburuan, apa yang kamu lontar dengan panah sebutlah nama Allah kemudian makanlah dan mengenai hasil buruan yang kamu dapatkan dengan menggunakan anjingmu yang telah terlatih, sebutlah nama Allah kemudian makanlah. Adapun hasil buruan yang kamu dapatkan dengan menggunakan anjingmu yang tidak terlatih, jika kamu dapat menyembelihnya, maka makanlah ". (H/R Bukhari) "Diriwayatkan daripada Adiy bin Hatim radiallahu 'anhu katanya: Wahai Rasulullah, aku telah melepaskan anjing-anjingyang sudah terlatih untuk berburu, anjing-anjing tersebut membawa binatang buruan itu kepadaku. Aku telah pun membaca Bismillah (menyebut nama Allah) padanya. Baginda bersabda: Apabila kamu menyuruh anjingmu yang telah terlatih dan kamu telah pun menyebut nama Allah atasnya, maka makanlah binatang buruan itu. Aku bertanya: Sekalipun anjing-anjing itu telah membunuhnya? Baginda menjawab: Ya, sekalipun anjing-anjing itu telah membunuhnya jika tidak ada anjing lain yang turut bersamanya ". (H/R Bukhari) Dalam syara binatang yang mati setelah ditangkap oleh anjing buruan yang telah dilatih untuk memburu adalah halal dimakan dagingnya tanpa diwajibkan disembelih lagi. Tangkapan anjing tidak pernah diwajibkan oleh Nabi Muhammad s.a.w supaya disertu terlebih dahulu sebelum mangsa buruan itu dipegang, dimasak dan dimakan. Sebagaimana hadith-hadith sahih di bawah ini: "Dari 'Adi bin Hatim berkata : Aku bertanya kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam maka aku katakan: Kami tergolong kaum pemburu yang memburu dengan anjing. Maka bersabda baginda : Apabila kamu melepaskan anjing buruan kamu yang terlatih maka ucapkanlah: (Bismillah maka makanlah apa yang telah dapat kamu tangkap melalui anjing tersebut, kecuali apa yang telah dimakan oleh anjing tersebut maka usahlah kamu makan, sesungguhnya aku takuti dia menangkapnya kerana untuknya sendiri (bukan untuk tuannya) dan jika dikongsi oleh anjing-anjing lain janganlah kamu memakannya". (H/R al Bukhari, Muslim, at Turmizi, Abu Daud.)