Taubat Nasuha 4/7 : Kebanyakan Manusia Enggan Bertaubat.

1,449
by admin, 11 years ago
94 74
Katakanlah! Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnyanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi). Melalui Sifat Allah Yang Maha Pengasih dan Pengampun, Allah menjanjikan rahmat dan pengampunan dari semua dosa kepada hambaNya yang bertaubat. Allah Subhanahu wa-Taala pula bertanya mengapa kamu tidak mahu bertaubat sedangkan taubat adalah amalan yang mulia di sisiNya sebagaimana firmanNya: اَفَلاَيَتُوْبُوْنَ اِلَىاللهِ وَيَسْتَغْفِرُوْنَهُ وَاللهُ غَفُوْرٌرَحِيْمٌ. Maka mengapa mereka tidak mahu bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. وَرَبُّكَ الْغَفُوْرُ ذُوْ الرَّحْمَةِ Dan Tuhanmu Maha Pengampun lagi melimpah-limpah rahmatNya. Oleh kerana Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, melimpah-limpah rahmatNya dan mencintai hambaNya yang bertaubat, maka adalah suatu kesilapan bagi seseorang yang melambat-lambatkan taubatnya sehingga menunggu pada sesuatu masa yang tertentu, seperti menunggu di hari tua, setelah menunaikan haji, setelah bersara, setelah berilmu, setelah berjaya meninggalkan maksiat, setelah berkeluarga atau sebagainya. Maka melengah-lengahkan taubat seperti ini adalah suatu kejahilan dan kesilapan yang nyata. Sebenarnya Allah menyeru agar hambaNya sentiasa bersegera meminta keampunan dan bertaubat kepadaNya sebagaimana firmanNya: وَسَارِعُوْا اِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ اُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِيْنَ Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.