Taubat Nasuha 5/7 : Allah Sediakan Syurga Seluas Langit Dan Bumi

1,711
by admin, 11 years ago
75 14
Oleh kerana Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, melimpah-limpah rahmatNya dan mencintai hambaNya yang bertaubat, maka adalah suatu kesilapan bagi seseorang yang melambat-lambatkan taubatnya sehingga menunggu pada sesuatu masa yang tertentu, seperti menunggu di hari tua, setelah menunaikan haji, setelah bersara, setelah berilmu, setelah berjaya meninggalkan maksiat, setelah berkeluarga atau sebagainya. Maka melengah-lengahkan taubat seperti ini adalah suatu kejahilan dan kesilapan yang nyata. Sebenarnya Allah menyeru agar hambaNya sentiasa bersegera meminta keampunan dan bertaubat kepadaNya sebagaimana firmanNya: وَسَارِعُوْا اِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ اُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِيْنَ Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. Allah Subhanu wa-Taala tidak akan membiarkan para hambanya bergelumang dengan berbagai dosa, oleh kerana itu Allah sentiasa membuka luas pintu taubat dan keampunannya kepada mereka yang mahu bertaubat. Allah memberikan contoh bahawa Nabi Adam dan Hawa telah bertaubat dari kesalahannya dan Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang menerima taubat mereka. Allah berfirman: قَالاَرَبَّنَا ظَلَمْنَآ اَنْفُسَنَا وَاِنْ لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ. Keduanya (Adam dan Hawa) berdoa, Ya Tuhan kami! Kami telah menganayai diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang merugi. فَتَلَقَّى آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ اِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ. Kemudian Adam Menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَى Kemudian Tuhan memilihnya (Nabi Adam alaihis salam), maka Dia menerima taubatnya dan memberi petunjuk.